Wednesday 30 April 2014

MITOS VS FAKTA MENGENAI PENYUSUAN SUSU IBU


Bacaan semangat buat ibu menyusu...pelbagai perkara yang seringkali dimomokkan kepada ibu tentang penyusuan..Mari semua..bersihkan minda dari mitos ini..

Mitos 1 : Payudara ibu menyusu akan lebih cepat mengendur
Fakta : Payudara ibu mmg akan bertambah saiz sepanjang 9 bulan kehamilan kerana pembentukan kalenjar mamari untuk persediaan menghasilkan susu apabila bayi lahir kelak. Jika ibu tidak menyusukan bayinya selepas lahir, saiz payudara ibu akan menurun dgn cepat dan drastik manakala bagi ibu yang menyusukan, saiz payudara akan menurun secara perlahan-lahan.

Mitos 2 : Bayi asyik "melekat" dengan ibu
Fakta : Ibu adalah orang pertama yang bayi kenal. Apabila menyusukan secara eksklusif 10-12 kali sehari, mmg tidak dinafikan bayi akan rapat dengan ibunya. Tetapi jangka masa "melekat" dgn ibu sebenarnya amatlah singkat, mungkin 6 bulan, 2 tahun atau mungkin lebih sehingga 3/5 tahun. Bandingkan jangka hayatnya sehingga 70 tahun. 5 tahun daripada 70 tahun amatlah singkat! Malah sebenarnya bayi yang menyusu ibu lebih berdikari, lebih rasa selamat, kurang menangis dan lebih berkeyakinan kerana dia telah merasa puas didakap, dibelai dan dimanja sewaktu tempoh menyusu dengan ibunya.

Mitos 3 : Susu ibu tidak sesedap susu formula
Fakta : Sedap bukan ukuran kualiti makanan berkhasiat. Banyak makanan "sedap" mengundang masalah kesihatan ! Susu ibu mengandungi banyak nutrien. Kandungan gula dalam susu ibu 6.8g berbanding 4.8g dalam susu formula. Tetapi gula di dalam susu ibu adalah gula ringkas yang lebih mudah dicerna dan diserap oleh usus bayi berbanding gula kompleks yang terkandung dalam susu formula. Oleh itu, bayi mendapat nutrien mudah daripada susu ibu.

Mitos 4 : Susu formula mengandungi pelbagai nutrien
Fakta : Terpengaruh dengan iklan susu formula di media yang mewar-warkan "khasiat dan nutrien" yang terkandung di dalam susu formula, hakikatnya susu ibu mengandungi lebih 300 nutrien dan sebahagiannya belum dapat dikenalpasti oleh para saintis ! Malah susu ibu mengandungi antibodi, enzim & protein yang tidak mungkin dapat ditiru oleh mana-mana susu formula di dunia !

Mitos 5 : Payudara kecil, susu kurang
Fakta : Semua ibu secara semulajadinya boleh menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayinya. Saiz payudara tidak mencerminkan saiz kalenjar mamari kerana mungkin saja saiz yang besar disebabkan kapasiti lemak yang tinggi !

Mitos 6 : Kolostrom adalah susu kotor, nanah daripada payudara
Fakta : Kolostrom berwarna kekuningan dan agak pekat, tidak menyerupai susu matang yang cair. Kolostrom hanya hadir pada 3/4 hari pertama hayat seorang bayi & hanya sekali itu sahaja dalam tempoh 6 bulan atau 2 tahun tempoh penyusuannya. Ia tidak akan berulang ! Kolostrom mengandungi antibodi yang melindungi sistem pencernaan bayi. Kolostrom adalah makanan pertama yang paling baik untuk bayi. Susu formula tidak dapat meniru kolostrom susu ibu. Kolostrom yang dijual di pasaran adalah ekstrak kolostrum susu lembu tetapi tidak sesuai untuk bayi.

Mitos 7 : Ibu menyusu tidak boleh minum/makan makanan sejuk, ibu menyusu perlu waspada pengambilan makanan
Fakta : Ibu menyusu (mallah semua orang sebenarnya) perlu menjaga pemakanan & mengamalkan pengambilan makanan yang sihat. Makan secara sederhana & mengikut keperluan badan. Bagi ibu menyusu yang gemarkan minuman berkafein (kopi), ibu boleh minum kopi sebaik sahaja selepas menyusu. Rasionalnya ialah kafein dalam kopi telah selesai dicernakan, dicairkan & dikumuhkan apabila tiba masa penyusuan seterusnya iaitu 2 jam kemudian. Oleh itu, kepekatan kafein dalam darah sudah menurun. Kaedah ini juga boleh dipraktikkan bagi ibu yang perlu mengambil ubat-ubatan tertentu.

Mitos 8 : Susu ibu terlalu cair (banyak air)
Fakta : Jika susu ibu yang diperah ke dalam botol diletakkan di atas meja seketika, kita akan dapat melihat susu ibu itu menjadi 3 lapisan iaitu warna keruh cair di lapisan paling bawah diikuti susu kekuningan di tengah dan susu pekat lemak berkrim di lapisan atas. Tetapi keadaan adalah sebaliknya bagi susu formula, lapisan cair paling atas manakala lapisan pekat di bawah (lemak berketumpatan tinggi). Bagi susu ibu, 80% kandungan adalah air. Susu ibu terdiri daripada susu awal (foremilk) untuk menghilangkan dahaga & akhir (hindmilk) untuk mengenyangkan bayi. Naluri semulajadi manusia minum kerana dahaga, maka itulah yang diberi oleh ibu terlebih dahulu kepada bayinya melalui susu awal (foremilk) yang mengandungi lebih air dan laktosa. Kemudian barulah susu akhir (hindmilk) yang pekat yang akan menyenyangkan !

Mitos 9 : Puting susu ibu perlu dicuci sebelum menyusukan bayi
Fakta : Puting payudara ibu bersifat antibakteria. Kajian yang dijalankan untuk melihat reaksi bayi pada sentuhan pertama kulit ke kulit (1 jam pertama selepas kelahiran) menunjukkan kecenderungan bayi untuk memilih puting susu ibu yang tidak dicuci berbanding puting susu ibu yang telah dicuci kerana bau semulajadi ibu lebih menarik bayi ! Bintil-bintil kecil disekeliling payudara mengandungi bahan pelincir (sebum) yang bersifat antibakteria. Mencuci payudara memadai dengan mandi seperti biasa 2 kali sehari, tidak perlu mencuci dengan sabun, bahan pencuci seperti Dettol dan sebagainya.

Mitos 10 : Penyusuan susu ibu mengambil nutrien daripada ibu. Ibu perlu makan lebih !
Fakta : Nutrien dalam susu ibu bergantung kepada nutrisi ibu. Oleh itu, ibu yang menyusu (dan sesiapa sahaja sebenarnya) perlu mengambil nutrisi seimbang untuk mengoptimumkan kesihatannya. Ibu boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuantiti yang betul dan sentiasa awasi jika terdapat tanda-tanda alahan kepada bayi, maka ibu harus berwaspada dengan pengambilan makanannya. Risiko osteoporosis di kalangan ibu menyusu lebih rendah berbanding wanita yang tidak menyusukan bayi mereka !

Sumber Artikel:
Momchoice.com.my










No comments:

Post a Comment